Wednesday, October 29, 2008

Bolehkah rakan-rakan media bantu KJ?

SEJAK dikejutkan dengan pencalonan demi pencalonan untuk Datuk Mukhriz Mahathir bagi merebut kerusi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berusaha lebih giat lagi untuk memenangi hati ahli Pemuda yang bersidang.
Setakat ini beliau mendapat 48 pencalonan berbanding Mukhriz sebanyak 70. Tentunya sewaktu Pemuda mula bermesyuarat 9 Oktober lalu, KJ menjangka beliaulah yang akan mendahului Mukhriz, Khir Toyo dan Zahidi Zainol Abidin. Maklumlah menantu PM.
Tetapi jelas sangkaan beliau itu meleset hingga akhirnya KJ mahu beliau dianggap sebagai calon 'underdog' saja.
Dalam mencari-cari wadah bagi mendapatkan publisiti luas dan mudah, KJ teringat akan rakan-rakannya di media arus perdana apatah lagi Kalimullah Hassan masih ada bertugas walaupun sudah menyerahkan surat meletakkan jawatan September lalu.
Beliau mungkin semakin terdesak apabila melihat sebuah akhbar mingguan paling laris mewawancara Mukhriz sehingga hampir semuka penuh, baru-baru ini.
Darahnya berderau agaknya. Apakah Mukhriz ada geng dalam akhbar itu? Itupun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed sudah pun memberitahu KJ akan menang tanpa banyak halangan.
Tetapi jelas Pemuda di akar umbi mahu calon Ketua yang berwibawa, tidak dibayangi sesiapa, tegas dan berprinsip serta tidak gentar mengeluarkan kenyataan.
Bagaimanapun, tanpa disedari ataupun tidak, KJ sudah pun menggembleng rakan-rakannya di sebuah akhbar arus perdana dan juga stesen tv swasta untuk melancarkan promosi baginya.
Sejak minggu lalu lagi, akhbar arus perdana hampir setiap hari menyiarkan apa saja berita dan ulasan dibuat oleh KJ - lengkap dengan gambar sekali.
Ada kalanya berita ulasan oleh KJ pun dijadikan berita utama. Apa pun berlaku, gambar KJ mesti dipaparkan.
Menggunakan senjata media ini pun sebenarnya ada juga padahnya.
Beberapa minggu sebelum pilihanraya 8 Mac lalu, ada rakan di Kota Bharu kata Pas pasti 'bungkus' kali ini akibat serangan daripada pelbagai sudut terutama publisiti oleh media arus perdana untuk BN.
Tetapi publisiti meluas di peringkat akhir kempen, lebih-lebih lagi melibatkan KJ, kata mereka tiba-tiba mengubah semula sokongan kepada Pas.
Hai KJ janganlah sampai 'senjata' mu memakan diri mu pula! Usah sampai Pemuda jelak dan muak dengan publisiti murahan tu!

No comments: