Sunday, November 9, 2008

Bekas mufti dengan tangan ghaib

DR.Mohammed Asri Zainul Abidin yang dilaporkan sudah pun melepaskan jawatan Mufti Perlis pada hujung Oktober lalu walaupun ia sepatutnya disambung sehingga 2009, memang amat kontroversil orangnya.
Namun apa yang dapat dinilai adalah, Dr Asri berani kerana benar dan sanggup mengulas sesuatu isu yang tidak mungkin tergamak dan mampu diulas seluruh barisan ulama dan mereka yang bergelar ulama dan pegawai agama di negara kita selama ini.
Atau jika mereka ulas pun mungkin secara tertutup dan tidak mahu dilaporkan atau off the record.
Dua ulasan paling menonjol adalah pertama, berkaitan unsur keberhalaan pada upacara meletak bunga di depan patung perajurit negara di Tugu Peringatan.
Selepas itu, pemasangan patung besar Anwar Ibrahim dekat Batu Caves juga dikaitkan dengan unsur keberhalaan.
Isu kedua yang akan menonjol adalah cadangan Dr Asri agar Raja Petra Kamaruddin diajak berhujah mengenai tulisan dan tuduhan beliau bersubahat menyiarkan tulisan dan kenyataan anti-Islam atau lebih tepat lagi menghina Rasullullah SAW dan keluarganya.
Memandangkan beliau sudahpun menimbulkan persoalan mengenai unsur keberhalaan dalam upacara meletak bunga itu, tentunya ia perlu dikaji semula oleh kerajaan bagi menghilangkan segala keraguan terhadap amalan bertahun-tahun itu.
Sekali imbas ia adalah tradisi diwarisi daripada tentera British dan tidak ada kena mengena dengan Islam. Perlukah ia diteruskan?
Apakah cara terbaik dan mengikut lunas Islam untuk memberi penghormatan kepada perajurit kita yang gugur menentang komunis?
Mengenai tulisan anti-Islam tentunya kita tidak kekurangan pakar dan profesor dalam bidang pengajian Islam dan perkara lebih khusus baik syariah atau usulludn yang petah berbahasa Inggeris untuk berhujah dengan Raja Petra.
Tunjuk dan buktikan dengan dalil betapa apa disiarkannya adalah salah, palsu dan bertentangan dengan Al-Quran (iaitu jika Raja Petra mahu beriman dengannya)serta beri beliau keyakinan untuk berpegang kepada Islam.
Hendaknya barisan ulama dan profesor pengajian Islam baik di UM, UKM, USIM, atau USM tampil atau pun ayuh Dr Asri, kamu sendiri tampil berbahas dengan Raja Petra.
Bagi pegawai agama digaji kerajaan, jika dituduh jumud mungkin kamu marah tetapi hakikatnya boleh dikatakan tidak ada yang berani tampil sendiri menentang kata-kata dan kenyataan disiarkan MalaysiaToday. Ramai yang berada dalam comfort zone dan tidak mahu hilang pencen!
Akhir kalam, dengarnya Dr Asri mengadu kepada seorang rakannya, juga seorang ustaz berkelulusan Dr, kini barulah beliau yakin ada tangan dan suara ghaib yang boleh menentukan sama ada sesuatu itu boleh digunapakai, sesuatu itu boleh atau tidak boleh dilaksanakan. Selamat datang ke dunia politik yang penuh dengan keajaiban, pembohongan, tipu helah dan kefasikan!

No comments: